SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Danau Perdana telah ditubuhkan pada 1 Januari 2002. Merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan. Semasa awal penubuhan sekolah ini menumpang di Sekolah Kebangsaan Taman Desa dan bersekolah pada sesi petang.
Pada bulan Januari 2003, Sekolah Kebangsaan Danau Perdana telah berpindah ke bangunan sendiri iaitu terletak di Jalan 1/109 F Taman Desa, Off Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur dan menjalankan sesi persekolahan pada sebelah pagi. Pada masa itu, bilangan murid adalah seramai 265 orang dengan purata seramai 29 orang untuk satu kelas. Bilangan bilik darjah ialah sebanyak 9 kelas dengan tenaga pengajar hanya seramai 18 orang.
Guru Besar yang pertama ialah Puan Hajah Siti Rabiah bt Haji Abd. Wahab. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini selama satu tahun tujuh bulan sebelum bersara wajib. Beliau telah diganti oleh Encik Mukhtar bin Ibrahim bermula pada 10.12.2003 sehingga beliau bersara awal pada 21 Jun 2005. Tempat beliau telah diganti oleh Puan Chai Bee Hoon yang telah berkhidmat selama 10 bulan sebelum ditukar ke Sekolah Kebangsaan St. Mary , Kuala Lumpur. Guru Besar yang baru ialah Puan Che Norizam bt Abdullah yang mula bertugas pada 1 Julai 2006.
Terdapat kemudahan seperti Makmal Komputer, bilik-bilik khas dan Program khas iaitu kelas pemulihan semasa awal penubuhannya. Perintis pertama murid yang menduduki UPSR ialah pada 2004. Sekolah ini telah mencapai kejayaan dalam banyak pertandingan samada peringkat zon atau negeri. Antara kejayaan yang memberangsangkan ialah Naib Johan Pertandingan Eureka Peringkat Negeri 2006 dan Johan Pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Inggeris Peringkat Negeri 2007.
Pada akhir tahun 2004, berlaku satu keadaan diluar jangkaan iaitu keretakan pada sebahagian dinding blok bangunan. Demi keselamatan warga sekolah, pihak Kementerian Pelajaran telah mengarahkan sekolah ini dikosongkan dan berpindah sementara menumpang di Sekolah Kebangsaan Taman Desa bermula awal Januari 2005 sehingga bangunan baru akan didirikan di tapak baru bersebelahan dengan Sekolah Menengah Desa Perdana dengan nama baru Sekolah Kebangsaan Desa Perdana yang dijangka siap pada akhir tahun 2008.
VISI
Visi merupakan satu imej dalam pemikiran tentang apa yang boleh dan mungkin akan berlaku pada masa depan bagi sesebuah organisasi. Ia menekankan perhubunganantara apa yang diperlukan dan matlamat yang telah ditentukan sebagai jalan untuk mencapai kejayaan. Penyataannya haruslah ringkas dan mengandungi falsafah amalan professional di dalam sesebuah organisasi .Visi mestilah jelas , mudah difahami dan dikongsi oleh semua. Ia adalah asas kepada kejayaan sesebuah organisasi. Oleh sebab budaya sesebuah organisasi itu berbentuk tersendiri, maka visi SK Danau Perdana juga bersifat tersendiri dan unik.
MELAHIRKAN GENERASI YANG BERWAWASAN KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK , KO-KURIKULUM DAN PEMBANGUNAN SAHSIAH SELARAS DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN MENJELANG TAHUN 2010
MISI
Misi memberi pertimbangan yang jelas tentang hala tuju. Ia merupakan cara membentuk rancangan operasi, objektif atau sasaran yang harus ditangani oleh semua anggota organisasi. Penyataan misi sesebuah organisasi akan menjadi rangka kerja yang membolehkan visi menjadi kenyataan. Ia menerangkan bagaimana sesuatu organisasi memilih cara untuk menjalankan aktivitinya. Bagi SK Danau Perdana perlaksanaan misinya adalah bergantung kepada kuasa Guru Besar dalam membuat keputusan, bilangan warga organisasi yang perlu diurus, peranan seluruh staf organisasi, budaya kerja mereka dan kepada siapa perkhidmatan itu di sediakan serta bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.
SK Danau Perdana berusaha menjadi salah sebuah sekolah yang popular yang menjadi pilihan ibu bapa. Warga SK Danau Perdana sangat komited untuk memberi kepuasan kepada pelanggan disamping menyediakan pendidikan yang berkualiti, sistematik dan efisien, mementingkan keselamatan pelajar , pemupukan sahsiah dan budaya kerja berteraskan nilai murni kepada seluruh warga sekolah.
MEWUJUDKAN SISTEM PENGURUSAN PENDIDIKAN YANG BERKUALITI, SISTEMATIK, EFISYEN DAN BERKUALITI DI SAMPING AMALAN BUDAYA KERJA BERTERASKAN NILAI-NILAI MURNI.
MOTO SEKOLAH
Melambangkan hasrat sekolah untuk mendidik dan membimbing anak watan supaya menjadi insan yang berilmu serta dapat mengaplikasikannya bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
BERILMU , BERMOTIVASI, BERINOVASI
PIAGAM PERLEMBAGAAN
Secara keseluruhannya jentera pendidikan SK Danau Perdana telah menyuarakan komitmen dan tekad mereka melalui Piagam Pelanggan Sekolah yang bernas bagi memberi perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan menyeluruh kepada pelanggan demi mengaspirasikan cita-cita negara.
Bahawa Kami Warga SK Danau Perdana komited untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami seperti berikut:MURID.
Murid menerima pendidikan yang berkualiti. Mendapat layanan yang mesra, adil dan kemudahan yang memuaskan. Memastikan murid Tahap 2 berpeluang menyertai kegiatan ko-kurikulum. Menghayati dan mengamalkan nilai murni. Mendidik murid menjadi insan berkualiti mulia.GURU DAN KAKITANGAN
Setiap guru dan kakitangan akan mengikuti kursus sekurang-kurangnya 3 kali setahun Memastikan setiap guru dan kakitangan dilayan secara adil dan saksama. Mendapat segala kemudahan mengikut keperluan. Memberi peluang meningkatkan mutu profesionalisme staf.WARIS.
Memastikan waris yang berurusan di kaunter mendapat layanan mesra dan diselesaikan dalam masa 15 minit. Pandangan waris dipertimbangkan oleh pihak sekolah. Mempunyai hubungan dua hala antara sekolah dengan ibubapa. Tiada halangan birokrasi untuk bertemu guru besar.STAKE HOLDER
Memastikan setiap arahan dan permohonan dari JPWP diambil tindakan selewat-lewatnya sehari selepas surat/arahan diterima.LOGO SEKOLAH

LAGU SEKOLAH
Lagu sekolah menjadi kebanggaan dan mencerminkan identiti warganya. Lagu sekolah seringkali dihayati dan dinyanyikan dengan penuh semangat pada setiap perhimpunan harian dan perhimpunan rasmi sekolah.
SEKOLAH KEBANGSAAN DANAU PERDANA
Menuju ke arah Kecemerlangan
Pendidikan dan juga kesukanan
Akhlak Yang Mulia diutamakan
Visi Kita Semua
Sekolah Kebangsaan Danau Perdana
Indah Ceria Jadi Kebanggaan
Warganya Positif Berkarisma
Pasti Berjaya
Berilmu Tinggi, Bermotivasi
Juga Berinovasi
Harumlah nama sekolah ini
Selamanya Di Hati
SK Danau Perdana
Indah Ceria Sentiasa
SK Danau Perdana Ku
Maju Sentiasa
Maju Sentiasa
Ciptaan: ROSLI AHMAD, BTP,
DEMOGRAFI KOMUNITI
SK Danau Perdana terletak dalam kawasan perumahan Taman Desa Utama, bersebelahan dengan SMK Desa Perdana dan SMK Danau Perdana. Taman Desa Utama dikelilingi oleh beberapa buah kawasan perumahan yang lain. Pada awal tahun 2000 beberapa buah pangsapuri telah disiap dibina berhampiran dengan kawasan sekolah .Adalah dijangkakan akan berlaku pertambahan enrolmen murid SK Danau Perdana secara beransur-ansur. Majoriti penduduk di kawasan ini ialah kakitangan kerajaan ,pekerja swasta dan sebahagiannya melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Taraf hidup mereka juga adalah sederhana dengan purata pendapatan antara RM600 hingga RM2000.
KEMUDAHAN FIZIKAL
SK Danau Perdana merupakan salah sebuah sekolah yang didirikan oleh pihak Kementerian bagi menampung perkembangan penduduk di sekitar Zon Bangsar. Walau pun masih menumpang, terdapat banyak kemudahan yang disediakan untuk keperluan pembelajaran murid-murid. Terdapat satu tapak perhimpunan yang luas yang boleh digunakan oleh murid-murid untuk menjalankan kegiatan Ko-Kurikulum ataupun Pelajaran Pendidikan Jasmani dan dua garaj kereta untuk pentadbir.



Komentar»
No comments yet — be the first.